Kelantan

Kelantan terkenal dengan penghasilan kain batiknya yang cantik lagi unik di samping aktiviti -aktiviti kebudayaan seperti Wayang Kulit, Dikir Barat, Mak Yong, dan pertunjukan Rebana Ubi. Di samping itu juga, Kelantan turut mempunyai tempat-tempat menarik yang boleh dilawati oleh pelancong-pelancong baik dari dalam negeri mahupun luar negeri.

Pasar Siti Khadijah

Pasar Siti Khadijah terletak berdekatan dengan stesen bas bandar Kota Bharu. Para peniaga menjual pelbagai jenis buah-buahan, sayur-sayuran, makanan kering, rempah-ratus dan banyak lagi barang keperluan. Terdapat juga kedai yang menjual kain batik dan hasil kraf tangan negeri Kelantan.

Muzium Islam

Bangunan Muzium Islam yang terletak di Kota Bharu ini telah dibina oleh Dato' Hassan Mohd. Salleh pada tahun 1902. Pada tahun 1915, Sultan Muhamad IV (1899-1920) telah membeli bangunan ini untuk dijadikan pejabat Majlis Agama Islam Kelantan. Tingkat bawah bangunan ini pula menempatkan sekolah agama pertama di Kelantan iaitu Madrasah Muhammadiah Melayu. Kini bangunan ini telah dijadikan sebuah muzium yang mempamerkan pelbagai fakta dan artifak sejarah mengenai sebab Kelantan dikenali oleh negeri-negeri jirannya sebagai Serambi Mekah. Di samping itu juga, bahan-bahan mengenai peranan yang dimainkan oleh Sultan-sultan Kelantan untuk menyebarkan agama Islam juga turut dipamerkan di sini.

Kampung Kraftangan

Kampung Kraf tangan terletak di pusat bandar Kota Bharu. Kampung Kraf tangan merupakan pusat pameran hasil kraf tangan buatan Kelantan. Hasil kraf tangan itu termasuk kain batik, ukiran kayu, kain songket dan banyak lagi.

Perlis | Kedah | Pulau Pinang | Perak | Selangor | Negeri Sembilan
Melaka | Johor | Pahang | Terengganu | Kelantan | Sarawak | Sabah

Laman Utama Penginapan Cadangan Keluar