Kedah

Kedah dikenali sebagai Jelapang Padi Malaysia. Di samping mempunyai kawasan padi yang terbentang luas, tarikan pelancongan yang lain terdapat pada tempat-tempat bersejarah, Muzium, Kawasan Hutan Lipur, pulau-pulau dan pantai.

Underwater World Langkawi

Underwater World Langkawi terletak di Pantai Cenang. Kompleks hidupan air ini mempunyai tempat pameran marin bagi semua jenis ikan dan hidupan air tawar dan air masin. Kompleks ini mempamerkan hidupan marin sebanyak 5, 000 jenis antaranya ialah jerung, ikan pari, kerapu, kuda laut, dan penyu. Antara tumpuan utama pelancong di dunia bawah laut ini ialah sebuah terowong sepanjang 15 m. Di dalam terowong ini pengunjung boleh menyaksikan hidupan laut bersaiz besar seperti jerung, pari, dan penyu.

Tasik Pedu

Tasik Pedu terletak di Padang Terap; 90 km dari Alor Setar. Tasik ini adalah antara destinasi percutian yang baru bagi negeri Kedah. Antara aktiviti sukan air yang boleh dilakukan di sini ialah memancing, jet ski, dan menaiki bot. Di tasik ini juga terdapat beberapa tempat penginapan yang menawarkan pakej kembali ke alam semula jadi, mengelilingi hutan tropika, flora dan fauna. Para pelawat juga boleh mencari dan melihat sendiri bagaimana lebah hutan gergasi mengumpul madu.

Kompleks Makam Mahsuri

Makam Mahsuri terletak di sebuah kampung 12 km dari pekan Kuah. Makam ini adalah suatu penghormatan kepada Mahsuri iaitu seorang wanita yang cantik dan baik yang tinggal di pulau ini 200 tahun lalu. Kecantikannya telah dicemburui oleh wanita lain. Akhirnya perasaan cemburu yang melampau itu telah mencetuskan fitnah. Akibat daripada tuduhan perlakuan sumbang yang tidak berasas dan tidak terbukti, beliau telah dihukum bunuh dengan menggunakan keris hikmat keluarganya. Menurut lagenda, darah yang keluar dari tubuh Mahsuri berwarna putih sebagai bukti kesucian diri beliau. Sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, beliau telah menyumpah Pulau Langkawi dengan mengatakan Langkawi akan ditimpa malapetaka selama tujuh keturunan. Makam asal Mahsuri ini telah dibina atas inisiatif Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Di samping makam tersebut, di kompleks ini juga terdapat perkampungan Kedah yang memuatkan sebuah rumah Melayu Kedah dan Telaga Mahsuri.

Laman Padi Langkawi

Laman Padi Langkawi terletak berhampiran Pantai Cenang. Laman padi ini telah dibina pada tahun 1999. Laman ini ialah Muzium Padi yang merupakan pusat pameran yang komprehensif mengenai peranan dan kepentingan padi dalam kehidupan masyarakat di Malaysia. Pengunjung yang berkunjung ke muzium ini berpeluang untuk melihat sendiri teknik penanaman padi di atas bumbung, melihat pemandangan sawah padi, dan juga mempelajari cara-cara penanaman padi.

Perlis | Kedah | Pulau Pinang | Perak | Selangor | Negeri Sembilan
Melaka | Johor | Pahang | Terengganu | Kelantan | Sarawak | Sabah

Laman Utama Penginapan Cadangan Keluar