Negeri Sembilan

Negeri Sembilan terkenal dengan adat Perpatih. Adat ini telah di bawa oleh masyarakat Minangkabau yang berasal dari Sumatra. Binaan bumbung rumah yang berupa tanduk jelas memperlihatkan keunikan ciri-ciri binaan tradisional orang-orang Minangkabau di negeri ini. Terdapat banyak tempat yang menjadi tarikan pelancong di sini seperti pantai-pantai, muzium, taman-taman rekreasi dan kolam air panas.

Port Dickson

Port Dickson terletak 32 km dari Bandar Seremban. Port Dickson merupakan salah sebuah kawasan pantai yang terkenal di pantai barat Semenanjung Malaysia. Pantai kawasan percutian ini adalah sepanjang 18km. Airnya yang jernih dan pantai yang cantik telah menarik ramai pelancong ke sana. Terdapat pelbagai aktiviti sukan air seperti belayar, berkayak, meluncur air dan banyak lagi. Antara pantai yang terkenal di sini ialah Teluk Kemang. Di samping berkelah dan bersukan air, pengunjung juga boleh melawat beberapa kawasan bersejarah di sini, seperti Kota Lukut, Rumah Api Tanjung Tuan dan Pangkalan Kempas.

Istana Sri Menanti

Istana Sri Menanti terletak di Sri Menanti, bahagian selatan Kuala Pilah, timur bandar Seremban. Sri Menanti ialah Bandar Diraja Negeri Sembilan. Istana ini dibina pada tahun 1903, oleh Tukang Kahar tanpa menggunakan paku mahupun skru. Terdapat 99 batang tiang di istana ini yang melambangkan 99 orang hulubalang yang mendirikan tiang-tiang istana itu semasa pembinaannya. Istana diraja ini juga mempunyai reka bentuk ukiran yang sungguh halus dan menarik. Istana yang dahulunya kediaman diraja kini telah diwartakan sebagai sebuah muzium diraja yang mempamerkan koleksi artifak dan salasilah diraja Negeri Sembilan.

Taman Seni Budaya

Taman Seni Budaya terletak di Jalan Labu, Seremban. Taman ini menempatkan pelbagai artifak dan bahan pameran sejarah Negeri Sembilan dan juga merupakan pusat kegiatan kebudayaan dan kesenian negeri. Terdapat beberapa buah bangunan di sini, iaitu Teratak Perpatih yang mempamerkan artifak kebudayaan tempatan, Istana Ampang Tinggi, yang pernah menjadi kediaman diraja yang dibina pada tahun 1861, dan Rumah Tradisional Negeri Sembilan.

Perlis | Kedah | Pulau Pinang | Perak | Selangor | Negeri Sembilan
Melaka | Johor | Pahang | Terengganu | Kelantan | Sarawak | Sabah

Laman Utama Penginapan Cadangan Keluar