Melaka

Melaka dikenali sebagai bandar raya bersejarah. Nama ini sesuai dengan Melaka sebagai tempat yang mempunyai banyak tempat-tempat bersejarah yang boleh dilawati. Di samping itu, terdapat juga hutan-hutan rekreasi, muzium dan pantai yang banyak menarik minat pelancong untuk berkunjung ke sini.

A' Famosa

Kota A'Famosa terletak berdekatan dengan Bukit St. Paul di Bandar Melaka. Kota ini juga dikenali sebagai Kota Santiago. Kota ini telah dibina oleh orang Portugis pada tahun 1911 dengan perintah Alfonso de Albuquerque. Pada asalnya pintu masuk ke kota ini diperbuat daripada kayu tetapi pintu itu telah diperbesar dan diperkuat dengan menggunakan batu batan daripada runtuhan istana, masjid dan makam-makam. Kota ini telah rosak teruk akibat daripada serangan penjajah Belanda, dan penjajah British juga telah berusaha untuk meruntuhkannya, tetapi Sir Stamford Raffles telah berjaya menyelamatkan sebahagian kecil struktur kota itu seperti yang ada pada masa kini.

Kampung Kebudayaan Mini Malaysia

Kampung Kebudayaan Mini Malaysia terletak di Ayer Keroh, 15 km dari bandar Melaka. Perkampungan ini menghimpunkan 13 buah rumah Melayu negeri-negeri di Malaysia. Setiap buah rumah yang terdapat di kampung ini mempunyai keunikan seni bina yang tersendiri. Pengunjung yang berkunjung ke sini juga berpeluang untuk menyaksikan pertunjukan kebudayaan dan permainan tradisional yang diadakan pada setiap minggu. Di sebelah perkampungan ini terdapat Taman Mini ASEAN yang mempamerkan rumah-rumah tradisional negara-negara ASEAN.

Masjid Tengkera

Masjid Tengkera terletak di Jalan Tengkera berdekatan dengan Jalan Gajah Berang. Masjid ini dibina pada tahun 1728 dan merupakan masjid yang pertama dibina pada zaman pemerintahan Belanda. Masjid ini juga adalah masjid yang kedua tertua di Melaka selepas Masjid Peringgit. Bentuk seni bina masjid ini hampir menyerupai Masjid Kampung Laut di Kelantan. Keunikan masjid ini ialah terdapat sebuah menara yang mempunyai seni bina yang sama dengan pagoda. Menaranya diperbuat daripada batu dan reka bentuknya jelas memperlihatkan kombinasi seni bina Cina dan India. Pada asalnya Masjid Tengkera ini diperbuat daripada kayu dengan atapnya daripada daun nipah dan tiangnya daripada kayu berlian atau ulin yang diimport dari Kalimantan, Sumatera. Masjid ini telah diperbaharui beberapa kali iaitu pada tahun 1890 dan 1910. Di dalam kawasan masjid ini terdapat makam Sultan Hussein Muhamad Shah dari Johor yang telah mengiktiraf perjanjian awal penyerahan Singapura kepada Sir Stamford Raffles dengan Temenggung Abdul Rahman pada 6 Februari 1819.

Perlis | Kedah | Pulau Pinang | Perak | Selangor | Negeri Sembilan
Melaka | Johor | Pahang | Terengganu | Kelantan | Sarawak | Sabah

Laman Utama Penginapan Cadangan Keluar