Johor

Johor merupakan negeri kedua terbesar di Semenanjung Malaysia selepas Pahang. Johor mempunyai daya tarikan pelancong yang menarik, bermula daripada kawasan-kawasan peranginan, kawasan air terjun dan hutan rekreasi, pantai-pantai serta tidak ketinggalan masjid-masjid dan istana-istana bersejarah sehingga kepada tarian dan muzik aslinya seperti Tarian Kuda Kepang, Muzik Ghazal dan Tarian Zapin.

Pulau Sibu

Kepulauan Sibu terdiri daripada gugusan Pulau Sibu Besar, Pulau Sibu Tengah, Pulau Sibu Hujung, Sibu Kukus, Pulau Lima, Pulau Mentinggi, dan Pulau Tinggi. Kepulauan ini terletak di bahagian pantai timur Laut China Selatan. Pengunjung boleh melihat sendiri kaedah membuat "Kopra" atau kaedah membuat cenderamata daripada sisa kelapa yang dilakukan oleh komuniti nelayan yang mendiami Pulau Sibu Besar dan Pulau Tinggi. Bagi pengunjung yang ingin berada di kepulauan ini buat beberapa hari, pengunjung boleh menginap di Pulau Sibu Tengah. Terdapat banyak calet didirikan di sini. Di samping melihat kehidupan nelayan, pengunjung yang berkunjung ke pulau-pulau ini juga boleh bersantai di pantai-pantai yang putih bersih serta menyelam untuk menyaksikan keindahan hidupan karang di pulau-pulau ini.

Taman Negara Endau-Rompin

Taman Negara Endau-Rompin terletak di sempadan Johor-Pahang. Kawasan ini yang diwartakan sebagai taman negara kedua Malaysia selepas taman negara di Pahang meliputi kawasan seluas 488 km persegi. Kawasan hutan ini sebahagian besarnya berbukit bukau dan merupakan legeh untuk beberapa batang sungai termasuklah Sungai Endau, Sungai Selai dan Sungai Jasin. Antara tempat-tempat menarik di taman negara ini ialah kawasan penempatan orang asli iaitu Kampung Peta dan air terjun di Upih Guling dan Buaya Sangkut. Taman Negara Endau-Rompin juga merupakan kawasan perlindungan terbesar di Malaysia bagi badak sumbu Sumatera.

Desaru

Desaru terletak 8 km di timur laut Johor Bahru. Pusat peranginan pantai sepanjang 20 km ini mempunyai pelbagai kemudahan penginapan bermula dari yang bertaraf ekonomi hinggalah kepada hotel bertaraf antarabangsa, padang golf 36 lubang dan restoran makanan yang mewah. Pengunjung boleh melakukan aktiviti seperti berkayak, memancing ikan, menunggang kuda, dan banyak lagi aktiviti yang lain di sini. Di samping itu, pelancong boleh lawat Tanjung Pengelih untuk melihat tinggalan sejarah Perang Dunia Kedua dan tinggalan sejarah Empayar Johor-Riau di Johor Lama.

Perlis | Kedah | Pulau Pinang | Perak | Selangor | Negeri Sembilan
Melaka | Johor | Pahang | Terengganu | Kelantan | Sarawak | Sabah

Laman Utama Penginapan Cadangan Keluar